Translate

Saturday, July 30, 2011

Adil Dalam Poligami.



Soalan:
Sis, saya adalah seorang wanita yang berjaya dalam kerjaya. Saya memang tidak memerlukan suami untuk menyara keperluan harian saya. Namun demikian, hati saya telah diketuk semula oleh kekasih lama yang telahpun berkeluarga. Dia telah melamar saya dan isterinya telah memberi izin ke atas perkahwinan ini atas sebab-sebab tertentu. Saya mendapat tahu bahawa seorang lelaki yang berhasrat untuk berpoligami perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa dia perlu berlaku adil kepada isteri-isterinya.

Bolehkah Sis menjelaskan apakah yang dimaksudkan keadilan itu? Bagaimanakah saya boleh melindungi kepentingan saya dalam perkahwinan poligami?

Katrina Abdullah
Bangsar, Kuala Lumpur

Jawapan :

Secara dasarnya, poligami adalah merupakan amalan masyarakat turun temurun Arab Jahiliyah sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Dengan datangnya Islam, poligami dihadkan kepada 4 sahaja berbanding dengan poligami tanpa had yang diamalkan sebelumnya . Seterusnya, bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan menjamin kesejahteraan hidup, Islam juga telah menetapkan syarat-syarat tertentu dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 3 “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hamba hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.


Ayat di atas menunjukkan amalan poligami lebih dilihat kepada satu tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap anak-anak yatim. Tetapi, adakah poligami yang dibenarkan sekarang adalah lebih merupakan untuk memenuhi keperluan seksual lelaki daripada melindungi anak-anak yatim? Ayat di atas jelas menunjukkan al-Quran tidak menggalakkan poligami sebagai satu hak tanpa syarat, tetapi ia adalah untuk memastikan nasib balu dan anak yatim terbela.

Ini diperkuatkan lagi oleh ayat Surah an-Nisa 129 yang menyatakan ”Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)”. Apabila al-Quran menegaskan dengan jelas mengenai keadilan terhadap wanita dan layanan yang adil terhadap para isteri, ia juga mengakui betapa mustahilnya memenuhi syarat ini. Dengan menekankan keperluan bagi layanan yang adil dan saksama untuk kesemua isteri, ayat 4:3 tidak boleh dilihat sebagai menggalakkan poligami.

Dalam perundangan di Malaysia, poligami dibenarkan tetapi ia hendaklah mendapat kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Kuala Lumpur) 1984.

Menurut seksyen 23(3) dan (4) Akta, dalam memberikan keizinan, Mahkamah akan mempertimbangkan beberapa perkara dan antaranya ialah mengapa perkahwinan poligami ini patut atau perlu, keadaan kewangan suami, sama ada suami boleh berlaku adil terhadap isteri-isteri, sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi dan perkahwinan tersebut tidak akan mengakibatkan darar syarie kepada isteri sedia ada.

Persoalan sama ada keempat-empat syarat di atas perlu dipenuhi kesemuanya dalam satu-satu permohonan telah diputuskan dalam kes Aishah lwn Wan Mohd Yusof, [1990] 3 MLJ 1x dan [1991] JH VII, yang dibicarakan dalam Jawatan Kuasa Rayuan Mahkamah Syariah Selangor. Hakim membuat keputusan bahawa keempat-empat syarat yang disebut di bawah Sek. 23(4) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor adalah sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan oleh pihak suami.

Undang-undang dibuat untuk melindungi hak-hak isteri sedia ada dan juga bakal isteri. Menurut Sek. 123 akta tersebut, memperuntukkan bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajamya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Peruntukan ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan pentingnya kaum wanita itu dilindungi dari penyalahgunaan amalan poligami. Penekanan perlu dibuat supaya suami memberikan keadilan yang secukupnya kepada isteri.

Syarat yang ketat ditetapkan dalam undang-undang keluarga Islam bukanlah bertujuan mengharamkan poligami. Ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Kecacatan poligami sebenarnya bukanlah dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaannya oleh sesetengah lelaki yang menyimpang dari landasan syariat.

Di Malaysia, Sek. 22(1) akta tersebut membenarkan pendaftaran taklik tambahan di dalam sijil perkahwinan. Walaubagaimanapun, amalan ini tidak selalu dilakukan. Kebanyakan kita tidak menyedari bahawa kita boleh memasukkan syarat ini ke dalam perjanjian perkahwinan. Bagi mereka tahu mengenainya, ramai wanita masih teragak-agak untuk meminta syarat ini dimasukkan kerana mereka merasa tindakan ini sebagai mencabar undang-undang dan kepercayaan terhadap suami.

Dengan itu, antara cara yang boleh melindungi saudari dalam perkahwinan poligami adalah taklik tambahan. Ianya juga demi menjaga kepentingan semua pihak, saudari dan juga isteri pertama boleh menetapkan syarat-syarat yang perlu suami turuti supaya kerukunan kedua-dua rumahtangga dapat dipelihara. Syarat-syarat seperti aturan giliran, jumlah nafkah yang harus diberikan kepada isteri-isteri dan anak-anak, pembahagian harta bolehlah ditetapkan dalam taklik tambahan ini. Persetujuan semua pihak diperlukan dalam taklik ini. Tujuannya ialah untuk melindungi kepentingan dan hak-hak lebih-lebih lagi hak anak-anak.

Jika syarat ini tidak dipatuhi oleh suami, isteri berhak untuk bercerai secara taklik. Kami juga berpendapat bahawa sekiranya suami melanggar mana-mana syarat perjanjian, ia memberi hak kepada isteri untuk memohon perceraian dan mendapat muta’ah (bayaran pampasan), kerana isteri terpaksa memohon bercerai srtelah berlaku kemungkiran perjanjian taklik.

Sebagai kesimpulan, sekiranya hak wanita Islam dijaga dan diperkembangkan mengikut lunas-lunas al-Quran maka keadilan yang terkandung di dalamnya sudah pasti diberi perhatian.





No comments:

Post a Comment